Rahsia carian Google

 HAMPIR setiap saat setiap individu di negara menggunakan agen carian bagi mencari pelbagai maklumat di laman web. Terdapat pelbagai laman carian di Internet yang biasa digunakan seperti AltaVista, InfoSeek, Google, Yahoo dan Lycos sekadar menyebut beberapa nama.

Bagaimanapun enjin carian yang popular, Google dan Yahoo mendapat tempat di kalangan pengguna Internet.
Bak kata Penganalisis Kanan, CyberSecurity Mohamad Nizam Kassim, agen carian Google mempunyai banyak kelebihan jika kita tahu membongkar 'rahsianya'.
"Selalunya pengguna mengambil masa yang lama untuk mencari sesuatu maklumat di dalam Internet.
"Misalnya jika kita mahu mencari sesuatu, kita akan menaip kata kunci dan hasilnya pasti berpuluh ribu keputusan tersiar di skrin menyebabkan kita perlu mencarinya satu persatu," katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas taklimat media mengenai Hari Keselamatan Komputer Dunia yang disampaikan oleh Pengerusi Cybersecurity, Jeneral Datuk Mohd. Azumi Mohamed di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mohamad Nizam berkata, pengguna boleh menggunakan enjin carian Google dengan mudah dengan menaip pembuka dan penutup kata "..." bagi mencari satu perkataan.
"Ini dapat mengurangkan masa untuk mencari bahan di dalam Internet," katanya.
Bagi mencari dua perkara berlainan, pengguna boleh menaip "..." "..." misalnya bagi mencari "mohamad nizam kasim" "cybersecurity" pengguna boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan cepat.
Selain itu pengguna Google juga boleh mendapatkan trend pencarian paling tinggi di google zeitgeist.
Bagi mereka yang masih baru dalam enjin carian, mereka boleh ke Soople yang memudahkan carian.
"Soople dibina oleh seorang anak bagi membolehkan ibunya melayari dan melakukan pencarian dengan lebih mudah.
"Kini Soople boleh digunakan oleh sesiapa saja dengan antara muka yang lebih mudah dan ringkas," katanya.
Bagaimanapun jelas Nizam, pengguna perlu 'memecahkan' rahsia Google untuk mengetahuinya.
"Apa yang penting, kita hanya perlu menaip kata kunci yang betul dalam setiap pencarian," katanya.
Organisasi atau agensi yang berminat untuk mengetahui rahsia Google boleh mendapatkan maklumat mengenai kursus yang ditawarkan di laman sesawang www.cybersafe.my

Sumber: Utusan Malaysia Online - Megabait - 6.12.2010

0 comments:

Post a Comment