Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Hamirullah Boorhan berkata, pengenalan Quick Balance bertujuan menambah kemudahan dalam laman digital yang ditawarkan oleh Maybank untuk keselesaan pelanggan.
Katanya, ia juga bagi mendorong pertumbuhan perbankan digital Maybank dan diper­kenalkan berikutan kejayaan pelancaran aplikasi Maybank2u yang telah menarik satu juta muat turun sejak 8 September 2014.
“Semakan baki akaun merupakan kemudahan yang paling kerap digunakan dalam perkhidmatan perbankan dalam talian bagi hampir kesemua pelanggan yang mendaftar masuk Maybank2u.
“Dengan kemudahan Quick Balance, pelanggan diberikan laluan mudah bagi mereka yang hanya mahu menyemak baki akaun tetapi bukan untuk mengendalikan transaksi lain dalam talian.” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Quick Balance menyediakan kemudahan kepada pelanggan individu yang mempunyai akaun atau kad dengan pilihan untuk hanya menyemak baki akaun masing-masing dalam peranti mudah alih.
Menurutnya, pelanggan tidak perlu mendaftar masuk ke laman dalam talian Maybank2u untuk menggunakan perkhidmatan tersebut dan ia juga menawarkan kelebihan kepada pelanggan untuk menetapkan jenis akaun yang kerap hendak dilihat.
“Dengan Quick Balance, para pelanggan akan menikmati kaedah paling selesa untuk menyemak akaun mereka pada bila-bila masa. Mereka juga boleh menyemak baki akaun kad sebelum membuat pembelian atau ketika di luar negara,” ujarnya.
Tambahnya, untuk mendapatkan laluan ke Quick Balance, pelanggan hanya perlu mewujudkan nombor pengenalan peribadi (PIN) 6 digit yang baharu dengan mendaftarkan mana-mana akaun simpanan, semasa atau kad kredit dan boleh terus menyemak baki akaun mereka.
Jelasnya, proses pendaftaran memerlukan kata laluan yang boleh digunakan sekali sahaja dan akan dihantar ke nombor telefon mudah alih yang telah dikemaskini. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Apple Store dan Google Play Store untuk iOS, android atau peranti bersesuaian.