Pesta gajet bermula


SETIAP kali menjelmanya tahun baru, para peminat gajet di seluruh dunia akan beralih tumpuan ke Las Vegas, tempat berlangsungnya Pameran Elektronik Pengguna (CES). Bagi pengeluar barangan elektronik, CES digunakan sebagai medan untuk memperkenalkan gajet atau barangan terkini mereka yang akan memasuki pasaran tahun ini.

Barangan seperti telefon pintar, kamera tiga dimensi (3D), komputer tablet, televisyen Internet dan pemain multimedia merupakan antara gajet yang akan menjadi tumpuan pada CES kali ini.
Sudah tentulah produk-produk tersebut juga akan mewarnai persada pasaran gajet tahun ini dan tumpuan utama adalah kepada 'peperangan' tablet untuk mencabar iPad.
Persaingan paling hebat antara tablet-tablet kali ini sudah tentu tertumpu kepada Apple ipad 2, Samsung Galaxy Tab, BlackBerry Playbook dan Google/Motorola Honeycomb.
Walaupun komputer tablet bukan perkara baru dalam industri pengkomputeran tetapi kejayaan iPad mempengaruhi pengguna untuk memilikinya, menjadikan ia dicemburui. "Apa yang komputer tablet berjaya lakukan ialah mewujudkan kategori baru produk dan sudah tentu ia tidak selalu berlaku," kata Naib presiden kanan CES, Jason Oxman. Maka ketika bermulanya CES pada Rabu lepas , lebih 126,000 pembeli runcit, penjual, jurutera dan eksekutif pemasaran memberi tumpuan kepada teknologi-teknologi komputer tablet, selain daripada gajet-gajet lain.
Bagi menyaingi Apple, pengeluar-pengeluar produk elektronik seperti LG, Samsung, Asus, Lenovo, Toshiba dan Motorola akan berusaha memperkenalkan produk mereka yang tidak kurang hebatnya tetapi berharga rendah. Kebanyakan daripada tablet itu akan menggunakan Android 3.0 yang dikenali juga sebagai Honeycom, perisian terbaru dari Google.

Menarik
Samsung Galaxy Tab dan BlackBerry PlayBook yang diperkenalkan di akhir tahun lepas juga dijangka akan menarik perhatian ramai.
Apa yang menarik, Vizio yang sebelum ini terkenal sebagai pengeluar televisyen definasi tinggi (HDTV) berharga rendah di Amerika Syarikat juga memasuki era komputer tablet dengan produknya, VIA Tablet.

RIM melalui tablet PlayBooknya sudah tentu akan mampu mencuri perhatian di kalangan pengguna BlackBerry memandangkan ramai yang masih tertunggu-tunggu produk tersebut. Dell juga tidak terkecuali memperkenalkan tablet versi tujuh inci dikenali sebagai Streak yang akan turut diperkenalkan bersama Dell Streak 5 sebelum ini yang bersaiz lima inci. Apa yang menarik, kebanyakan pengeluar tablet kini menjauhi saiz 10 inci yang diperkenalkan iPad, sebaliknya memilih skrin yang lebih kecil dengan saiz terbesar adalah tujuh inci.

Persaingan 3D
Seperti juga tahun lepas, teknologi 3D menjadi pilihan untuk diperkembangkan lagi oleh kebanyakan syarikat seperti Sony, Samsung, Panasonic, LG dan lain-lain yang memperkenalkan model baru HDTV dan pemain Blu-ray mereka.
Walaupun pengguna di rumah masih kurang meminati hiburan 3D tetapi pembangunan teknologi baru diharap mampu merubah keadaan tersebut. Lebih banyak produk dengan ciri-ciri 3D akan diperkenalkan tahun ini yang sudah tentu ditawarkan dengan harga lebih menarik. Minat terhadap teknologi 3D dijangka meningkat dengan pengenalan televisyen 3D tanpa cermin mata ataupun menggunakan cermin mata berkos rendah tanpa perlu menukar bateri. Sony juga memperkenalkan kamera CyberShot, HandyCam dan Bloggie berciri 3D untuk membolehkan bukan sahaja pengguna boleh menonton kandungan 3D tetapi juga menciptanya!
Syarikat itu juga memperkenalkan prototaip alat menonton 3D yang membolehkan pengguna menonton kandungan 3D walaupun ketika bergerak. Selain 3D, HDTV bersambung Internet dan pemain Blu-ray merupakan antara produk yang mendapat perhatian pada pameran kali ini.

Pembangunan teknologi akan menyaksikan pengguna mempunyai pilihan untuk melayari Internet di komputer atau televisyen mereka dengan tahap kepuasan yang hampir sama. Produk-produk seperti Google TV, Logitech Revue dan HDTV Sony bersepadu pemain Blu-ray serta HDTV Vizio merupakan antara produk televisyen yang mampu menarik perhatian ramai. Selain itu, produk dilengkapi Wi-Fi akan lebih banyak diperkenalkan termasuk juga TV dilengkapi dengan kamera terbina dalam yang boleh melakukan persidangan video.
Selain itu, sudah tentu telefon pintar akan terus menyaksikan perkembangan dengan pelbagai ciri-ciri menarik, termasuk Windows Phone 7.

Sumber: Utusan Malaysia Online - Megabait - 9.1.2011

0 comments:

Post a Comment